Isnin, 18 Mei 2015

Duit peringatan lebih rare dari duit edaran?

Hari ini seorang pembaca di Facebook mengutarakan pendapat bahawa duit syiling peringatan lebih rare kerana mempunyai jumlah cetakan (mintage) yang jauh lebih sedikit daripada duit syiling edaran. Pendapat anda bagaimana, adakah syiling peringatan itu lebih rare daripada syiling edaran Malaysia?

Duit peringatan

Soalan itu di ajukan oleh pembaca didalam Status di Facebook page Malaysia Coin yang berikut:
Tahu tak kenapa ada sesetengah syiling Malaysia tu berharga mahal? Sebab ianya tidak mudah dijumpai didalam poket seluar anda. Tak percaya? Cuba tengok sendiri senarai ni dan cari jika ianya ada didalam tabung anak anda atau poket seluar anda. http://buff.ly/1B2rEN7

Sebelum kita membincangkannya dengan lebih lanjut, kepada rakan-rakan collector, rare yang dimaksudkan didalam artikel ini adalah mengambil kira "rare" yang digunapakai oleh kebanyakkan bukan collector di Malaysia iaitu menjadi buruan atau susah dicari.

Saya tidak pasti jika yang bertanya itu adalah collector atau pun bukan dan saya tidak bertanya.

Namun yang saya pasti tuan punya ID Facebook tersebut tak baca dengan teliti pun status yang saya kongsikan tersebut. Seperti kebanyakkan rakyat Malaysia yang lain, baca sikit dan kemudiannya komen ikut emosi mereka pada waktu itu.

Untuk pengetahuan rakan-rakan bukan collector semua, Duit Syiling Peringatan kebiasaanya dikeluarkan khas untuk pengumpul duit syiling sebagai memperingati sesuatu peristiwa yang terjadi di dalam negara. Syiling peringatan pada kebiasaannya sudah berharga mahal sebaik sahaja ianya dijual oleh Bank Negara Malaysia. Harga premiumnya adakalanya lebih 5 kali ganda daripada harga pasaran untuk logam syiling tersebut. Sebagai contoh juga, syiling peringatan perak yang mempunyai nilai muka RM10 dijual oleh Bank Negara pada harga RM200 satu set.

Jika nasib anda bagus, marketing anda bagus dan teknik jualan anda bagus, harga syiling peringatan itu boleh memberi keuntungan sekali ganda apabila ianya sampai ke tangan anda. Namun, tidak semua orang tahu rahsia ini dan tidak semua berjaya walaupun ramai yang terikut-ikut melabur membeli syiling peringatan.

Ramai bukan collector yang beranggapan, beli syiling peringatan di hari pelancaran, simpan dulu. Apabila nak pakai duit, boleh jual harga sekali ganda dengan collector. Itulah anggapan salah bukan collector selama ini. Silap haribulan, bukan dapat untung, syiling terpaksa dijual pada harga yang lebih murah dari harga jualan BNM.

Itu belum termasuk bukan collector yang terfikir untuk menjual syiling peringatan itu dengan harga sekali ganda dengan Bank Negara Malaysia.

Untuk makluman juga, bukan semua collector mengumpul duit syiling peringatan. Sepertimana syiling yang lain, harga syiling peringatan juga tertakluk kepada harga pasarannya yang tersendiri.

Jika melihat kepada jumlah mintage sahaja, memanglah kelihatan seolah-olah syiling itu rare kerana mempunyai jumlah mintage yang jauh berbeza daripada syiling edaran. Namun, bukan jumlah mintage sahaja yang menjadi ukuran untuk kenaikan harga pasaran. Saya ada menulis mengenainya sebelum ini disini: Kenapa duit lama berharga tinggi.

Perkara pentingnya, silalah "belajar untuk membaca" setiap apa yang saya kongsikan jika mahu belajar mengenai numismatik. Saya tak rugi apa-apa jika anda tidak mahu membaca dan saya tidak dapat untung apa-apa jika anda membaca artikel saya.

Lagipun, bila masa pula duit syiling peringatan boleh ditemui didalam poket seluar anda? Pada masa sekarang, syiling peringatan semuanya didatangkan dengan kotak atau didalam coincard.

Lainlah jika ditahun 1970-1980an dulu bila duit syiling peringatan dijual tanpa kotak atau tidak didalam kad.

Pendapat anda bagaimana?