Khamis, 7 Mei 2015

Dulu harga naik tinggi sekarang jatuh menjunam

Di Facebook, ada rakan-rakan yang membincangkan tentang harga pasaran koleksi numismatik yang pada suatu waktu dahulu naik sehingga setinggi langit dan pada ketika ini menjadi suram. Ianya dikatakan sama seperti hobi membela ayam serama dan Ikan Flower Horn yang suatu waktu dulu heboh diperkatakan.

syiling peruf

Berbagai macam pendapat di utarakan oleh rakan-rakan di dalam perbincangan tersebut, saya hanya membuat Like kerana pendapat saya telah di utarakan sebelum ini didalam artikel Kenapa harga syiling naik mendadak.

Harga terkini untuk syiling Malaysia telah diserahkan oleh rakan-rakan pada saya pada awal bulan Oktober tahun lepas, diwaktu itu, kebanyakkan koleksi numismatik mempunyai harga pasaran yang lebih rendah daripada yang dilaporkan kepada saya. Senarai harga itu tidak dapat dipakai kerana ianya agak jauh daripada harga pasaran pada waktu itu.

Untuk beberapa bulan ini saya agak sibuk dan tidak mempunyai masa untuk membuat tinjauan harga pasaran tetapi ada rakan-rakan yang memberitahu saya harga pasaran sudah agak stabil berbanding penghujung tahun 2014.

Sepertimana yang saya perkatakan sebelum ini, terdapat pelbagai kategori manusia didalam Numismatik Malaysia. Hanya mereka yang betul-betul setia kepada hobi ini akan terus bersama-sama hobi ini.

Sepertimana hobi yang lain, pastinya ada sahaja yang mahu dia lebih baik dari orang lain (superior). Harga bukan ukuran kerana dia mahu menunjukkan koleksinya yang hebat kepada rakan-rakan yang lain. Kerana apabila dia telah berjaya menunjukkan koleksi yang hebat tersebut, kawan-kawan akan mengangkatnya sebagai "otai" dan apa sahaja pendapatnya akan mudah diterima oleh rakan-rakan.

Suatu waktu dahulu ketika Internet hanya boleh di akses melalui talian Telekom, semasa saya mula menjual di lelong.com.my serta mudah.com.my, harga pasaran sebenarnya ditentukan oleh penjual. Terutamanya jika koleksi numismatik tersebut sukar diperolehi dipasaran serta mempunyai ramai peminatnya. Kupon dan Token dulu jual harga RM10 pun tiada siapa yang hendak membelinya kerana tidak ramai peminat online yang menyukainya. Syiling Malaysia yang dicari adalah hanya syiling keydate dengan kualiti yang tinggi, itupun hanya dapat jual 3 angka sahaja. Pada waktu itu, penjual numismatik online yang betul-betul aktif boleh dikira dengan jari tangan dan jari kaki.

Namun, jika anda melihat kepada trend numismatik di Malaysia, harga pasaran sesuatu syiling itu naik mendadak disebabkan oleh "kekurangan koleksi numismatik tersebut dipasaran". Apabila harganya sudah mula naik tinggi, koleksi numismatik tersebut juga akan mula datang memasuki pasaran. Contoh paling mudah adalah syiling peringatan Shah Alam. Harga coincardnya pernah mencecah sehingga RM650 sekeping dan kini harga pasarannya hanya didalam linkungan RM90. 

Adakah hobi ini akan terus sejuk kaku?

Pada pendapat saya, hobi mengumpul duit lama ini bukannya hobi bermusim kerana peminatnya di Malaysia walaupun bukan ramai tetapi sukar untuk berganjak daripada hobi ini. Jika ada yang mengambil keputusan untuk "bersara" pun akhirnya akan kembali semula juga kepada hobi ini. Harga koleksi juga akan naik semula suatu hari nanti, cuma masa yang akan menentukannya.

Pendapat anda bagaimana pula?