Sekeping syiling 100 Ringgit peruf emas Tunku Abdul Rahman memasuki senarai rekod top 10 syiling Malaysia termahal hari ini. Bagi bukan collector, harga syiling yang mahal itulah berita yang paling menarik minat mereka selain cerita-cerita mistik dan misteri mengenai duit syiling.
Syiling-syiling Malaysia yang dikeluarkan oleh Kerajaan Bunian sekarang ini semakin mudah didapati di pasaran berbanding dahulu kala.
Kalau anda tak faham apa yang saya maksudkan adalah syiling-syiling Malaysia yang tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia seperti syiling 10 sen tahun 1972, 50 sen 2006 Bunga Raya dan 50 sen tahun 1976.
Senarai penuh syiling-syiling Malaysia yang tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia anda boleh baca didalam artikel ini; Duit tiada keluaran mengikut tahun.
Dulu, ada juga dengar khabar angin mengatakan Bank Negara Malaysia akan melaksanakan operasi khas untuk menangkap mereka yang mengeluarkan duit palsu ni.
Setakat artikel ini ditulis, tidak ada lagi maklumat yang mengatakan ada daripada dalang-dalang Kerajaan Bunian ini yang telah ditangkap oleh Bank Negara Malaysia.
Pelik tetapi benar, disaat kita hampir menuju ke arah negara maju, masih ramai lagi rakyat negara ini yang masih kuat kepercayaannya kepada perkara-perkara mistik. Kebanyakkan dari mereka yang saya kenal beragama Islam dan mempunyai jawatan yang hebat seperti profesor dan doktor.
Apabila mereka mengetahui saya ini pengumpul duit lama, maka akan timbullah pertanyaan untuk meminta bantuan dicarikan syiling-syiling seperti yang diatas.
Penerangan oleh kita bahawa syiling-syiling yang ada dipasaran itu adalah duit palsu, telah diubah dan sebenarnya dijual apda harga yang terlalu tinggi tidak di endahkan.
Bagi mereka, harga bukan ukuran, apa yang penting koleksi yang dicari itu ada didepan mata dan boleh digunakan oleh mereka mengikut kemahuan serta kehendak masing-masing.
Jika dulu saya pernah menyuarakan mengenai syiling palsu negeri Melaka yang dipamerkan di Muzium Melaka (Rujuk Artikel: Museum in Melaka with fake coins). Hari ini, saya mendapat maklumat dari rakan di Facebook, selepas Muzium tersebut telah dipulihara, syiling-syiling itu masih lagi ada didalam Muzium. Sedih juga apabila Muzium sendiri yang menjadi tempat mempamerkan syiling-syiling palsu. Nak kata saya seorang jer perasan, rakan-rakan numismatik luar negara dari Australia, Amerika dan Kanada juga pernah bertanya saya kenapa syiling palsu dipamerkan didalam muzium tersebut. Saya tidak dapat menjawabnya kerana diluar bidang kuasa saya.
Seolah-olah pegawai muzium tidak ada kepakaran untuk menilai sendiri atau sememangnya malas untuk belajar. Jika tidak ada tempat rujukan, pada pendapat saya, Sasana Kijang Bank Negara adalah tempat yang sesuai untuk mencari ilmu mengenai syiling lama Melaka.
Dulu pun heboh mengenai Misteri Harta Karun Pulau Nangka. Kebetulan, Pulau nangka tu pun kat Melaka, heboh dengan penemuan syiling emas Kerajaan Majapahit yang sebenarnya hanyalah "koin semar", duit tangkal azimat yang diangkat sebagai artifak harta karun untuk membolehkan pencari harta karun meneruskan kerja-kerja mereka. Namun, rasanya ia masih lagi di angkat sebagai satu artifak Pulau Nangka?
Harga syiling mistik apabila dijual kepada pencari koleksi mistik akan memberi keuntungan "durian runtuh" kepada penjualnya.
Selagi tidak ada undang-undang dan kerja-kerja penguatkuasaan yang tegas serta kakitangan awam yang sepatutnya mempunyai kepakaran membina/belajar mengenai tugas-tugas mereka, penipuan ini akan terus berjalan.
Sampai bilakah numismatik Malaysia turut diwarnai dengan syiling palsu & mistik?