Selasa, 27 Oktober 2015

Tak salah bertanya tapi ada adab dan batasnya

Ada yang bertanya kenapa saya menulis artikel dengan menyebut perkataan CELAKA dalam artikel sebelum ini (Newbies Celaka). Kebanyakkan yang bertanya itu saya pasti tidak membaca artikel dan juga tidak faham apa yang cuba disampaikan.

Kebanyakkan orang, emosi mereka mudah terganggu apabila terlihat atau terbaca perkataan yang sensitif buat diri mereka.

salah

Kami telah menulis di blog Malaysiancoin.com sejak tahun 2012. Namun, soalan yang kerap ditanya oleh kebanyakkan orang adalah "berapa harga duit lama?" dan juga "syiling apakah yang berharga?" Sedangkan, kesemua maklumat telah kami kongsikan didalam artikel blog-blog kami.

Jika anda ditanya soalan yang hampir sama selama lebih kurang 3 tahun hampir setiap hari, apa yang anda rasa?

Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada pihak kami tetapi juga kepada semua coin dealer dan juga collector yang telah dikenali ramai.

Bagi mereka yang tidak terkena di batang hidung sendiri mungkin dengan mudahnya memberikan pendapat dah jadi otai, dah lama dalam bidang ini kena terimalah hakikat orang memberi soalan mengenai duit lama.

Orang yang berfikir macam ni wajib baca sehingga faham artikel "Newbies Celaka".

Tidak salah untuk bertanya tetapi jika jawapan sudah diberi, bacalah. Janganlah tanya lagi soalan yang sama.

Gunalah lojik akal sebelum bertanya, jika kesemua duit syiling yang biasa boleh dijual beribu-ribu Ringgit sekeping. Di Malaysia ini sudah ramai yang jadi kaya dengan jual duit syiling sahaja. Tak perlu pergi sekolah, jual duit syiling lama sahaja kat mudah.my dan Facebook.

Tidak salah untuk bertanya tapi beradablah sikit, janganlah bertanya di Facebook nak tulis dengan HURUF BESAR lepas tu letak tanda soal ????? banyak-banyak.

Huruf besar yang anda taip itu bermakna anda menjerit dan tanda soal itu memberikan gambaran kami tidak menjawab soalan anda.

Tidak salah untuk bertanya tetapi janganlah nak suruh kami jawab As Soon As Possible (ASAP), lainlah jika anda bayar kami untuk menjawab soalan anda.

Tidak salah untuk bertanya tetapi janganlah telefon, sms, mms atau whatsapp otai-otai jam 2 pagi semata-mata anda nak tanya harga duit 50 sen terbelah anda. Kami pun perlu tidur dan ada keluarga seperti anda. Kalau tak jawab maki hamun, kata kita sombong tak jawab soalan dia.

Kebanyakkan soalan anda itu sudah saya jawab didalam artikel-artikel saya sebelum ini.

Kami menulis bukan untuk membeli duit lama anda, kami menulis bukan untuk menjadi popular.

Nak jual duit lama, anda perlu ada sedikit ilmu mengenai duit lama, didalam blog ini kami dah menjawab hampir kesemua soalan. Buatlah carian di blog ini terlebih dahulu, jika tidak ada, buat carian di Google. Banyak blog-blog rakan numismatik yang mungkin boleh membantu anda.

Bukan semua duit lama itu berharga mahal dan setiap duit syiling itu ada keunikannya yang tersendiri.