Rabu, 18 November 2015

Hobi ini bukan skim cepat kaya

Ramai bukan collector dan juga mereka yang cuba untuk menceburi bidang ini sebagai investor segera beranggapan hobi ini umpama skim cepat kaya. Beli hari ini, esok boleh jual pada harga paling kurang sekali ganda. Apa-apa sahaja duit lama, harganya pasti menjangkaui ribuan Ringgit dan memberi keuntungan lumayan.

skim cepat kaya

Hakikatnya?

Untuk menjadi kaya dan mendapat untung dari hobi ini anda perlu belajar serba sedikit tentang numismatik.

Anda perlu belajar apa itu gred duit syiling Very Fine (VF), Extremely Fine (EF) atau Uncirculated (UNC); 10 tips terbaik untuk Newbies.

Anda perlu belajar bagaimana untuk menyimpan koleksi anda supaya ianya tidak rosak; Bagaimana untuk menjaga dan menyimpan duit syiling.

Anda perlu belajar duit lama apa yang dicari oleh collector serta duit lama bagaimana yang boleh berharga tinggi; Duit syiling lama yang berharga.

Anda perlu rajin membaca dan belajar sendiri daripada apa yang anda baca. Menambah ilmu pengetahuan mengenai hobi ini akan membantu anda memahami dengan lebih lanjut kenapa ada duit syiling lama Malaysia yang terjual pada harga tinggi.

Kepada anda yang tak tahu, Skim cepat kaya kebiasaannya menjanjikan pulangan faedah dan keuntungan yang tinggi kepada pelabur oleh penganjur skim. Mengikut Kamus Dewan bahasa dan Pustaka, Skim Cepat Kaya bermaksud skim pelaburan yg kononnya boleh memberikan pulangan (keuntungan) yg segera dan sangat lumayan.

Hobi ini boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan. Jangan lupa sepertimana pelaburan emas dan perak, harga pasarannya ada masa pasang dan surutnya.

Belajar sendiri mengenai harga pasaran duit lama, adakah duit lama yang ingin anda beli untuk pelaburan tersebut sedang mencapai harga matangnya atau tidak. Sebagai contoh yang paling mudah, pada ketika ini ramai yang sedang berebut-rebut untuk membeli kupon lama yang dikeluarkan di zaman British. Kupon apakah yang paling sukar ditemui? Untuk setiap kupon tersebut, berapakah harga pasarannya sebelum ini? Berapa banyakkah pengumpul yang ingin membeli kupon anda?

Jika anda menyertai hobi ini tanpa adanya ilmu, anda kemungkinan besar akan rugi dikemudian hari.

Kepada mereka yang nak jual duit lama, nak untung dari hobi ini, ilmu adalah asas paling penting kepada pelaburan anda.

Beli buku dan baca serta buat kajian anda sendiri. Dengar cakap orang boleh tetapi jangan percaya 100%, terutamanya jika orang tersebut ingin menjual koleksi duit lama kepada anda.

Jangan percaya 100% janji manis penjual yang duit lama anda beli itu akan memberikan anda keuntungan sekali ganda.

Hobi ini bukan skim cepat kaya.