Percaya atau tidak, di zaman teknologi ini, numismatik juga turut berubah mengikut arus zaman. Jika dahulu collector menyertai persatuan numismatik untuk menambah ilmu, mencari kenalan numismatik dan juga melakukan transaksi jual beli numismatik. Sekarang ini, menyertai kumpulan numismatik di Facebook (Facebook Groups) adalah suatu kemestian bagi para collector.
Menyertai kumpulan numismatik di Facebook lebih mudah kerana tidak perlu mengisi borang, tidak perlu membayar yuran penyertaan, tidak perlu membayar yuran tahunan dan bagi kebanyakan "collector" mereka boleh terus menjual koleksi numismatik yang mereka ada. Ada kumpulan numismatik yang memerlukan ahlinya membeli kad, ada yang meminta ahlinya aktif selama sebulan terlebih dahulu supaya mereka memahami peraturan kumpulan dan ada banyak kumpulan yang membenarkan ahlinya terus mengadakan juala koleksi duit lama tanpa tapisan.
Sebagai perbandingan, kebanyakan Persatuan Numismatik perlu mengisi borang, perlu membayar yuran penyertaan, perlu membayar yuran tahunan dan jualan dilakukan oleh persatuan dengan peraturan, pengesahan ketulenan serta gred kualiti duit syiling dilakukan oleh persatuan.
Persatuan Numismatik walaupun berdaftar dan di anggotai oleh collector yang telah terbukti mempunyai kepakaran didalam bidang numismatik bukan lagi pilihan utama collector. "Collector" newbies tidak kisah mendapat nasihat daripada "Pakar Numismatik Segera" yang dihasilkan oleh kumpulan numismatik di Facebook ini.
"Collector" newbies lebih mudah untuk bertanya soalan dan mendapatkan jawapan-jawapan dari kumpulan numismatik di Facebook. Walaupun adakalanya jawapan yang diberikan tidak tepat atau nasihat yang diberikan tidak betul, apa yang penting bagi "collector" newbies ada orang yang menjawab persoalan mereka.
Kelebihan-kelebihan ini menjadikan kumpulan numismatik di Facebook suatu pilihan mudah bagi kebanyakkan "collector" newbies yang kebanyakkannya hanya mahu menjual koleksi duit lama yang mereka ada.
Pada ketika ini, Facebook Groups Numismatik bak cendawan tumbuh selepas hujan, hampir setiap hari, ada sahaja group baru yang ditubuhkan yang tujuannya adalah sama, untuk mengadakan jual beli duit lama di Facebook.
Pada pendapat saya, Persatuan Numismatik juga sewajarnya perlu berubah mengikut arus zaman. Tubuhkan juga Facebook Groups untuk Persatuan dengan admin-admin yang boleh membantu ahli-ahlinya menjawab persoalan numismatik di Facebook. Beri ruang kepada collector untuk menyertai Facebook Groups secara percuma tanpa perlu menjadi ahli. Yuran keahlian juga mungkin perlu dikurangkan untuk mengalakkan lebih ramai menyertai Persatuan Numismatik atau mungkin ahli hanya perlu membayar sekali sahaja untuk keahlian.
Memang sudah ada Persatuan Numismatik yang melakukan sedemikian tetapi target group mereka hanya kumpulan tertentu sahaja.
Secara realitinya juga, ada Persatuan Numismatik yang tidak dapat melakukan sedemikian kerana terikat dengan peraturan.
Bagaimana dengan anda, adakah anda menjadi ahli Persatuan Numismatik atau kumpulan numismatik di Facebook?