Memang seronok berangan-angan duit lama yang anda ada terjual sehingga beribu Ringgit, iklan duit syiling 50 sen terbelah di Mudah.my, letakkan harga RM10,000 dan berharap nasib baik datang, ada yang sudi membeli pada harga mahal.
Namun, jika secara tiba-tiba ada yang menghubungi anda hendak membeli duit lama tersebut pada harga RM500,000 kenapa anda terus tidak bersetuju sahaja? Bukankah itu dah namanya nasib baik? Orang nak beli, jual sahajalah, apa nak takut pula.
Realitinya, kebanyakkan "penjual" duit lama segera ini tahu yang duit mereka itu tidak bernilai tinggi. Akibat daripada sikap tamak dan berharap duit lama yang mereka ada boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka, maka berlambaklah iklan sampah sebegini di laman laman web seperti mudah.my dan sebagainya.
Itu tidak termasuk dengan "penjual kaki spam" di Facebook dan juga ruang komen di blog malaysiancoin.com. Pihak kami tiada kompromi, spam sahaja dengan iklan jualan atau setakat nak bagitahu anda ada syiling lama, kami ban sahaja terus. Buang masa sahaja dengan kaki spam ni.
Untuk makluman, blog ini bukan tempat untuk anda berjual beli. Disini kami berkongsi maklumat mengenai syiling Malaysia.
Scam beli duit lama dari luar negara, terutamanya dari Nigeria (nombor telefon bermula dengan +234) semakin menjadi-jadi setiap hari.
Walaupun Modus Operandi mereka dan amaran mengenai scam ini telah kami kongsi di dalam blog, masih ramai juga yang terkena dengan scam ini.
Kepada semua "penjual" duit lama segera ni, kami nasihatkan rajin-rajinlah membaca supaya anda tidak ditipu. Jangan dengar cakap kawan sahaja, sekurang-kurangnya beli senaskah buku numismatik sebagai rujukan anda dan juga belajar mengenai gred duit syiling.
Jika anda hanya ada syiling atau duit lama yang lusuh dan tidak mempunyai harga, nampak sangat anda "terdesak" perlukan duit dan berpotensi untuk menjadi mangsa scam.
Rasanya, scammer pun lebih tahu berkenaan numismatik Malaysia berbanding dengan anda.
Jika anda sudah menjadi mangsa scam, tidak ada sesiapa yang boleh membantu anda. Oleh itu, mencegah lebih baik dari mengubati.
Berpijaklah kepada bumi yang nyata, rajin-rajin membaca mencari ilmu jika anda betul-betul hendak menjadi penjual duit lama.
Sebagai contoh, syiling 20 sen 1988 yang dikatakan boleh dijual sehingga harga RM38ribu, anda tahu tak ada berapa juta syiling itu dikeluarkan oleh Bank Negara?
Siapalah yang gila nak beli syiling yang dikeluarkan berjuta-juta keping mahal macam tu. Nak kata yang spam jual duit 20 sen 1988 ni bodoh karang marah pulak tapi dah memang sah sah bodoh pun.
Baca artikel sikit sahaja dah melompat-lompat, terjerit-jerit dia bakal jadi jutawan. Bacalah artikel kami tu sampai habis, ke tak pandai membaca juga?
Perbuatan-perbuatan bodoh sebegini, terutamanya dengan mengiklankan dimana-mana sahaja dengan cara spam akan mengundang anda menjadi mangsa scam suatu hari nanti.
Banyak blog dan laman web yang berkongsi maklumat palsu mengenai duit syiling Malaysia dengan mengatakan "syiling berharga mahal" sehingga berpuluh ribu ringgit.
Kebanyakan dari penulis artikel tersebut hanya bertujuan untuk menarik pembaca ke blog mereka. Mereka tidak kisah pun jika cerita yang mereka tulis itu adalah auta semata-mata.
Apa yang penting bagi mereka, orang yang membaca percaya, Share dan Like dengan kawan-kawan. Semakin banyak Share dan Like, maka semakin banyaklah pembaca yang datang ke blog mereka.
Kami telah memaklumkannya sebelum ini didalam artikel; Berhati-hati dengan iklan membeli duit lama palsu!
Terpulanglah kepada anda untuk mempercayai yang fakta atau pun lebih senang untuk hidup dengan auta.