Isnin, 11 April 2016

Maklumat numismatik yang wajar dikongsi BNM

Banyak perkara mengenai numismatik yang tidak pernah dikongsikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) secara rasmi melalui laman web atau siaran akhbar mereka. Sebagai contoh, mintage atau jumlah tempaan syiling edaran tidak pernah dikongsi oleh BNM.

Maklumat-maklumat numismatik perlu sebagai sebahagian daripada bahan pembelajaran serta rujukan kepada pengumpul numismatik.

Tanpa perkongsian daripada BNM, numismatik Malaysia hanya mendapat maklumat daripada sumber-sumber tidak rasmi yang adakalanya tidak tepat dan lebih teruk lagi sengaja dipalsukan untuk mendapatkan keuntungan.

Bagi bukan collector, maklumat-maklumat ini mungkin tidak penting kerana mereka tidak memahami numismatik.

Numismatik BNM


Maklumat numismatik yang perlu dikongsikan oleh BNM:

1. Jumlah mintage duit syiling edaran
Untuk makluman, jumlah mintage yang diperolehi Buku katalog Master Sifu Steven Tan adalah daripada BNM. Namun, sejak tahun 2010 tidak ada maklumat terkini mintage syiling edaran yang dikongsi didalam buku katalog tersebut.

Rekod mengenai mintage duit syiling perlu didalam numismatik kerana maklumat mintage duit syiling adalah sebahagian daripada perkara yang mempengaruhi harga duit syiling. Namun, mintage yang rendah tidak semestinya menyebabkan harga duit syiling pada tahun itu menjadi tinggi.

Tanpa adanya laporan mengenai jumlah keluaran duit syiling yang dihasilkan oleh Kilang Wang bank Negara untuk sesuatu tahun itu, para collector tidak dapat mempastikan adakah syiling edaran tersebut rare atau sebaliknya.


2. Nama pereka duit syiling
Hanya duit syiling siri pertama (Parlimen) yang mempunyai tanda ukiran perekanya (GC) Geoffrey Colley. Ukiran huruf GC syiling siri pertama ini berada dibawah bangunan Parlimen.

Untuk pereka syiling edaran siri kedua, maklumat hanya diperolehi daripada keratan akhbar, En. Low Yee Kheng memenangi pertandingan rekabentuk duit syiling nasional (National coin design competition) yang di anjurkan oleh bank negara pada tahun 1987.

Tidak ada maklumat yang diperolehi untuk pereka duit syiling Malaysia siri ketiga (terbaru).

Untuk beberapa syiling peringatan dan medallion semasa era Royal Minta Malaysia, ada dinyatakan nama Tuan Ismail Ibrahim sebagai pereka duit syiling.

Selain daripada menghargai pereka duit syiling, maklumat pereka juga membantu pengumpul untuk mengenali rekaan yang sama dari seseorang pereka.

Maklumat-maklumat pereka ini jika tidak dicatatkan adalah suatu kerugian kepada sejarah numismatik negara.


3. Kilang Wang yang menempa (mencetak) Syiling Peringatan
Jika anda adalah peminat syiling peringatan, kebanyakkan syiling peringatan (kecuali coincard) keluaran terbaru tidak dinyatakan Kilang Wang yang menempa syiling tersebut didalam kad maklumat spesifikasi teknikal yang disertakan.

Berbanding dengan syiling peringatan perak, emas dan yang terbaru, tembaga, kebanyakkan syiling peringatan coincard terbaru ada menyatakan ianya ditempa di Kilang Wang BNM.

Walaupun Malaysia hanya mempunyai 1 sahaja Kilang Wang, adakalanya syiling peringatan Malaysia ditempa diluar negara. Tanpa maklumat mengenainya di ruang spesifikasi teknikal yang disertakan bersama-sama syiling peringatan, ianya menimbulkan tanda tanya kepada collector dimanakah ianya ditempa?


4. Jumlah cetakan wang kertas edaran
Sehingga ke hari ini juga, tidak ada laporan tahunan dari BNM tentang jumlah cetakan wang kertas edaran yang telah dibuat oleh BNM serta jumlah wang kertas yang telah dilupuskan. Tidak pernah juga dinyatakan jumlah wang kertas palsu yang dijumpai didalam edaran.

Maklumat-maklumat ini penting untuk collector mengetahui jumlah populasi wang kertas yang di edarkan oleh BNM. Untuk pengumpul wang kertas Malaysia yang hardcore, mereka mengumpul setiap nombor siri yang ada.

Maklumat wang palsu juga penting kepada collector kerana suatu hari nanti ianya akan menjadi data sejarah mengenai kewujudan wang palsu, sekaligus membantu memberikan maklumat numismatik.


5. Sejarah Kilang Wang
Adalah suatu yang merugikan, BNM tidak kerap berkongsi sejarah mengenai Kilang Wang. Dulu BNM pernah memberi peluang kepada orang awam untuk melawatnya tetapi kini ianya menjadi suatu tempat yang penuh dengan misteri kepada pengumpul numismatik.

Maklumat serta gambar mengenai Kilang Wang juga amat kurang boleh ditemui dari buku-buku yang dikeluarkan oleh BNM atau sebarang penulisan mengenai BNM.

Sejarah mengenai kenapa 10 sen 1971 hanya dikeluarkan sebanyak 32,236 keping sahaja pastinya dapat dirungkai jika BNM sudi berkongsi maklumat.

Maklumat mengenai mesin serta proses penempaan yang dilakukan oleh Kilang Wang BNM juga amat kurang boleh ditemui.

Selain itu, cerita mengenai syiling peringatan yang telah ditempa tetapi tidak pernah dijual kepada collector juga ada banyak. 

Ini semua sejarah numismatik yang perlukan maklumat rasmi dari BNM. Sejarah-sejarah ini jika dikongsi membantu kajian-kajian yang pernah dilakukan oleh ahli numismatik Malaysia.


6. Tandatangan Gabenor BNM pada Wang Kertas
Isu yang terbaru, menurut Sifu Dickson Niew, BNM tidak lagi membenarkan tandatangan gabenor BNM pada wang kertas dikongsikan didalam buku katalog terbaru. Pihak kami ada mendapat maklumat mengenainya sebelum ini semasa acara lelongan Trigometric ke-3 pada bulan Mac yang baru lalu.

Selain tulisan "CONTOH" atau "SPECIMEN", Trigometric juga diminta untuk memadam tandatangan gabenor dan juga tulisan "WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI".

Kami tidak pasti jika ada garis panduan terbaru dikeluarkan oleh BNM. Pemeriksaan di laman web BNM pada 11 April 2016 hanya ada Guideline on the Reproduction of Malaysian Currency.

Jika tandatangan Gabenor dibuang daripada disertakan sekali didalam buku katalog, bagaimanakah para collector terutamanya collector baru kenal sesuatu wang kertas tersebut. Para collector sejak dulu sudah membezakan wang kertas mengikut gabenor BNM yang menandatangani wang kertas.

Secara rasmi, wang kertas yang dikeluarkan oleh BNM hanya Siri ke-4 tetapi bagi collector, wang kertas sekarang sudah siri ke-12.

Sifu Dickson Niew meminta pihak kami menulis artikel khas untuk perkara ini, terutamanya membincangkan dengan para collector apa rasionalnya tandatangan Gabenor BNM yang terdahulu dipadam pada gambar wang kertas dibuku katalog.



Pendapat anda bagaimana? Adakah lagi maklumat numismatik lain yang wajar dikongsi oleh Bank Negara Malaysia?