Isnin, 4 April 2016

5 Tips memilih penjual duit lama yang boleh dipercayai

Walau pun di Malaysia kita tidak mempunyai ramai penjual duit lama tetapi membeli duit lama daripada penjual adakalanya turut mengundang risiko kerugian kepada pembeli. Jika tidak berhati-hati dan terlalu percayakan cakap penjual sahaja, kita mungkin akan menjadi mangsa kepada perangkap mereka.

Steven Tan

Ada peniaga duit lama yang menjual duit palsu pada harga pasaran duit yang tulen, ada peniaga yang menjual duit lama dengan harga yang lebih tinggi dari nilai pasaran gred syiling tersebut dan ada juga penjual duit lama yang suka mereka-reka cerita supaya anda mahu membeli apa yang dijualnya.

Tidak semua penjual duit lama itu jujur dan tidak semua penjual itu mempunyai pengetahuan tentang duit lama yang dijual oleh mereka.

Mencegah itu lebih baik daripada ditipu, apatah lagi jika ianya melibatkan jumlah wang yang besar.

Untuk makluman, penjual duit lama yang dimaksudkan disini adalah mereka yang mempunyai kedai duit lama dan juga menjual di pasar karat diseluruh Malaysia.

Tips memilih penjual duit lama

1. Tanya rakan collector, adakah penjual tersebut boleh dipercayai
Cara paling mudah untuk tahu jika penjual tersebut jujur atau tidak adalah dengan bertanya rakan-rakan collector lain yang pernah berurusan dengan beliau. Medium Media sosial seperti Facebook boleh menjadi tempat perbincangan yang sesuai, jika hal tersebut terlalu peribadi, anda boleh bertanya dengan rakan-rakan didalam private message.


2. Pastikan penjual itu tahu apa yang dia jual
Sebelum anda membeli sesuatu duit syiling yang anda minat, pastikan anda membuat kajian, buat bacaan daripada buku rujukan dan juga Google seberapa banyak maklumat yang dapat anda temui. Apabila anda bertemu dengan penjual, anda sudah mempunyai sedikit sebanyak maklumat.

Tanya mereka soalan untuk kepastian, jika penjual itu tahu apa yang dia jual, pastinya maklumat yang dia berikan lebih kurang sama dengan maklumat yang anda temui.


3. Berapa lama pengalaman mengumpul duit lama penjual?
Tanya penjual dengan baik, berapa lama pengalaman beliau mengumpul duit lama, apakah pengkhususan beliau, bagaimana beliau mula menjadi penjual duit lama. Kebanyakkan penjual tidak akan lokek berkongsi cerita mengenai koleksi mereka, jika anda bernasib baik, ada di antara mereka yang sanggup kongsikan kepada anda koleksi terbaik mereka. Namun, janganlah pula bertanya dengan kasar atau ketika penjual itu sedang sibuk melayan pelanggan.

Pengalaman mengumpul duit lama akan membezakan mereka yang pakar dengan mereka yang baru menceburi bidang numismatik. Anda ingin membeli duit lama pada harga yang mahal, sudah pasti anda ingin pastikan duit lama itu setara dengan nilai yang anda bayar bukan?

Penjual yang berpengalaman juga tidak akan lokek menerangkan kepada anda mengenai gred duit lama yang dijualnya.


4. Tanya dengan penjual duit lama lain
Jika rakan-rakan anda tidak kenal penjual tersebut atau tidak pasti jika beliau jujur atau tidak, cuba anda bertanya dengan penjual-penjual duit lama yang lain. Penjual duit lama ni biasanya tahu kisah yang berlaku di antara mereka, anda tak tanya maka mereka pun tak naklah cakap. 

Jika penjual tersebut mempunyai reputasi yang teruk, sudah pasti ramai yang tahu mengenai beliau. Pastikan anda tanya dengan penjual yang anda kenal (dah biasa beli dengan mereka), jika tidak, rasanya penjual pun tutup mulut tak nak cerita juga.


5. Adakah penjual menjamin syiling mereka tulen?
Soalan yang terakhir anda perlu tanya penjual sebelum anda membayar duit syiling lama yang anda beli, adakah penjual menjamin syiling mereka tulen? Berapa lama jaminan yang diberikan? Ya lah.., takkanlah nak bagi jaminan seumur hidup pula. Jika anda ragu-ragu dengan jaminan mereka, pastikan anda meminta resit diberikan sebelum anda membayar duit lama tersebut. Resit akan membantu anda membawa kes ke tribunal jika ada perkara yang menjadi pertikaian nanti.


Mengelak membeli duit lama dari peniaga yang tidak jujur adalah lebih baik daripada membawa kes ke tribunal pengguna, anda besar kemungkinan perlu membazirkan masa serta wang untuk tuntutan anda ke atas mereka.

Jika anda membeli duit syiling pada harga puluh Ringgit sahaja, anda tidak perlu risau untuk ditipu. Hanya pastikan anda sendiri telah membuat homework anda dan meneliti syiling yang dibeli sebelum membuat bayaran untuk mengelakkan ditipu.

Berhati-hati memilih penjual duit lama!