Pagi tadi kami berkongsi mengenai Pertandingan Mereka Bentuk Wang Kertas Peringatan Bank Negara Malaysia (BNM) di salah satu blog kami. Semasa melawat Facebook page rasmi BNM, kami tertarik dengan komen salah seorang pengunjung Facebook page tersebut.
Khalid Al Walid, "Aku nak tanya siapa yang tukang design duit syiling baru? Tahu tak kenapa saya tanya sebab reka bentuk tak ergonomik. Seluk poket kena tengok nombor dulu dahlah 10 sen dan 5 sen nak serupa, nombor digit tak timbul, berbeza dengan design yang dulu, jadi aku nak kau keluarkan design yang lama ,aku ingat orang bank cerdik pandai rupanya tak reti nak tengok kesesuaian yang orang guna pakai, AKU NAK SYILING LAMA."
Isu ini sudah lama dibincangkan oleh blog kami sebelum ini, boleh rujuk artikel When new coin become political issue.
Sedikit sejarah mengenai Syiling baru Malaysia untuk pengetahuan anda semua.
Pada 25 Julai 2011, Mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz melancarkan reka bentuk duit syiling baru kepada umum dan keesokan harinya, 500,000 set coin card duit syiling baru dijual kepada umum.
Syiling Malaysia siri ke-3 ini mula di edarkan kepada umum pada 16 Januari 2012.
Syiling 5 sen dan 10 sen dibuat daripada logam yang sama keluli tahan karat (Stainless Steel). Diameter atau saiz syiling ini hanya berbeza 1.02 milimeter dan perbezaan berat 1.26 gram.
Sementara itu, syiling 20 sen diperbuat dari logam Nikel Loyang (Nickel Brass) dan syiling 50 sen diperbuat dari logam Nikel Loyang Bersalut Kuprum (Nickel Brass Clad Copper). Diameter atau saiz syiling ini hanya berbeza 2.05 milimeter dan perbezaan berat 1.48 gram.
Di atas kertas, memang jelas terdapat sedikit perbezaan daripada segi berat dan juga saiz duit syiling tersebut tetapi realitinya saiz itu agak sukar untuk dibezakan dengan mata kasar. Apatah lagi semasa transaksi jual beli, adakalanya kita hanya menerima sahaja duit syiling tanpa melihat nilai denominasi yang diberikan kepada kita.
Syiling siri baru ini juga sebenarnya boleh dibezakan dengan memegang pada sisi duit syiling tersebut. Sisi duit syiling 5 sen kosong (tidak mempunyai bentuk) dan sisi syiling 10 sen adalah bergerigi halus (Milled). Untuk duit syiling 20 sen pula, sisinya adalah bergerigi kasar (Milled) dan untuk 50 sen sisinya adalah kosong dengan lekuk ditepinya.
Tidak ramai orang yang akan membuang masa untuk memeriksa sisi duit syiling ketika menerima baki atau duit syiling semasa transaksi jual beli.
Rakyat Malaysia sudah biasa dengan saiz duit syiling siri pertama dan juga duit syiling siri kedua yang dari pandangan mata kasar sahaja sudah cukup mudah untuk membezakan nilai denominasi syiling itu berdasarkan saiz dan warna logam syiling tersebut.
Antara isu syiling siri ke-3 yang pernah dibincangkan sebelum ini:
- Saiz syiling 10 sen dan 5 sen hampir sama.
- Saiz syiling 50 sen dan 20 sen hampir sama.
- Syiling 10 sen dan 5 sen agak ringan.
- Warna kuning keemasan syiling 50 sen dan 20 sen mudah pudar.
- Syiling 10 sen dan 5 sen mudah berkarat.
- Syiling 10 sen dan 5 sen mudah melekat magnet dan dikhuatiri ianya menjadi magnet dan merosakkan telefon bimbit yang diletakkan bersama syiling tersebut.
Bagaimana dengan anda, adakah anda juga menghadapi masalah ketika menggunakan syiling edaran siri ke-3?