Khamis, 20 Oktober 2016

Hal Numismatik yang patut ada di pembentangan Bajet 2017

Jika numismatik dijadikan sebagai sebahagian daripada perkara yang dibentangkan didalam Bajet 2017 oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak. Apakah perkara-perkara mengenai numismatik yang sepatutnya dimasukkan didalam pembentangan bajet tersebut? 

Belanjawan Malaysia 2017 atau Bajet 2017 akan dibentangkan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia di Parlimen pada 21 Oktober 2016 (esok) bermula dari jam 4.00 petang.

Hal mengenai numismatik sudah pasti tidak akan dibentangkan didalam belanjawan 2017 tetapi suatu perkara yang menarik untuk dibincangkan oleh warga numismatik.

Bajet 2017

Berikut adalah 7 Perkara mengenai Numismatik yang mustahil ada dalam Bajet 2017:

Syiling Peringatan yang dijual BNM dikecualikan Cukai GST
Untuk mengalakkan aktiviti & kegiatan numismatik di Malaysia, sewajarnya kerajaan mengecualikan cukai GST ke atas Syiling Peringatan yang di jual oleh Bank Negara Malaysia di premis-premis mereka di Sasana Kijang serta cawangan-cawangan BNM yang menjual Syiling Peringatan Malaysia.

Pembelian Syiling Peringatan oleh rakyat Malaysia adalah antara pelaburan yang sewajarnya disokong oleh kerajaan Malaysia. Jumlah cukai GST yang dikecualikan untuk setiap keluaran syiling peringatan BNM hanyalah berjumlah RM42,000 secara keseluruhan tetapi memberikan impak yang sangat besar kepada aktiviti & kegiatan numismatik Malaysia.


Mewujudkan Jabatan mengawal & menguatkuasa hal arkeologi & numismatik
Pada ketika ini, tidak ada Jabatan kerajaan yang diwujudkan khusus untuk mengawal & menguatkuasa hal arkeologi & numismatik di Malaysia. Kerajaan sewajarnya membelanjakan wang untuk memastikan bidang arkeologi & numismatik di Malaysia terpelihara. Jabatan ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan Akta Warisan Kebangsaan 2005 dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.

Jabatan kerajaan ini juga akan mewujudkan senarai pakar-pakar berkaitan arkeologi & numismatik yang telah di kenal pasti boleh membantu mengesahkan keaslian bahan-bahan arkeologi & numismatik yang ditemui adalah tulin. Dengan adanya pakar-pakar yang di iktiraf kerajaan ini, pakar-pakar palsu yang bertujuan untuk menjual koleksi wang palsu mereka dapat dikurangkan. Selain itu, Jabatan ini juga akan membantu Muzium diseluruh negara untuk mempastikan bahan arkeologi & numismatik yang dipamerkan adalah tulen dan asli.


Peniaga berdaftar dengan Jabatan Numismatik akan menerima rebet cukai
Para peniaga yang berdaftar dengan Jabatan arkeologi & numismatik yang diwujudkan di atas sebelum 31 Oktober 2017 akan diberikan rebet cukai perniagaan sebanyak RM100,000. Ini untuk membantu peniaga menyesuaikan diri dengan undang-undang dan peraturan baru yang mungkin diwujudkan oleh Jabatan Numismatik & Arkeologi yang baru diwujudkan.

Pada 1 November 2017, mana-mana peniaga yang menjual barang-barang arkeologi dan numismatik tetapi tidak berdaftar dengan Jabatan arkeologi & numismatik akan didenda maksimum RM10,000 untuk setiap barang-barang arkeologi & numismatik yang dimiliki oleh peniaga tersebut.


Pelepasan cukai RM12000 setahun untuk pembelian koleksi numismatik
Di cadangkan juga, pembelian koleksi numismatik diberikan pelepasan cukai individu sebanyak RM12000 setahun untuk koleksi numismatik yang berkaitan dengan sejarah Malaysia yang dibeli dari luar negara. Pelepasan cukai ini membantu pengumpul duit lama yang menyimpan dan memulihara koleksi numismatik Malaysia yang berada diluar negara supaya ianya kembali ke negara ini.

Pelepasan cukai individu sebanyak RM12000 setahun ini mungkin nampak sedikit tetapi ianya suatu pengiktirafan kepada individu-individu yang membawa balik semula koleksi numismatik Malaysia.


Objek bersejarah perlu tapisan Pesuruhjaya Warisan sebelum di eksport
Mana-mana Objek bersejarah terutamanya yang melibatkan wang kesultanan melayu lama, medal dan manuskrip lama yang disenaraikan di bawah Akta Warisan sewajarnya dijaga daripada dibawa keluar negara dengan mudah oleh individu atau syarikat. Sebelum ianya dibawa keluar atau di eksport ke luar negara, Pesuruhjaya Warisan sewajarnya memeriksa terlebih dahulu objek bersejarah tersebut sama ada ianya penting kepada negara atau tidak.

Peruntukan kewangan perlu diberikan oleh kerajaan untuk mempastikan Pesuruhjaya Warisan atau kakitangannya dapat diwujudkan di pintu masuk utama negara untuk melakukan pemeriksaan. 


Kesimpulan
Numismatik tidak mungkin akan menjadi agenda penting negara kerana kerajaan melihat pulangannya amat sedikit dan perbelanjaan besar diperlukan untuk menguatkuasakan Akta yang sedia ada. Namun, jika kerajaan betul-betul serius didalam memelihara warisan negara, sudah pasti suatu hari nanti kita dapat melihat ada imbuhan kepada bidang numismatik didalam Belanjawan negara.

Pendapat anda bagaimana?

Apakah perkara-perkara mengenai numismatik yang sepatutnya dimasukkan didalam pembentangan bajet 2017?