Hari ini, nilai Ringgit Malaysia jatuh sehingga RM4.51 untuk 1 Dollar US, antara kadar terendah untuk Ringgit Malaysia pada tahun ini. Nilai Ringgit jatuh, apa maknanya kepada para collector? Adakah kadar pertukaran matawang asing juga mempengaruhi jual beli duit lama?
Jika dilihat kepada trend kadar pertukaran matawang asing yang ada sekarang, nilai Ringgit agak sukar untuk naik semula kerana faktor ekonomi dan politik dunia.
Mari kita lihat, dengan kejatuhan nilai Ringgit, apa yang akan berlaku dengan suasana Numismatik di Malaysia.
Harga aksesori numismatik akan naik
Jika anda hanya membeli koleksi duit lama anda didalam negara sahaja, ada kemungkinan anda tidak sedar buat masa ini, harga untuk aksesori numismatik yang diimport (coin holder, kapsul, tubes, album, kanta etc) akan naik kerana transaksi jual beli adalah menggunakan US Dollar. Buat masa ini, harga mungkin masih murah kerana kedai/penjual masih lagi mempunyai stok yang dibeli ketika kadar nilai Ringgit masih tinggi.
Kos membeli koleksi numismatik dari luar negara meningkat
Sudah pasti, penurunan nilai Ringgit akan menyebabkan kos membeli koleksi numismatik dari luar negara meningkat daripada biasa. Namun, adakalanya membeli dari luar negara masih lagi lebih baik kerana harganya masih lagi murah berbanding dengan harga pasaran duit lama didalam negara. Koleksi numismatik bukan sahaja duit lama tetapi juga buku numismatik yang semakin susah untuk ditemui sekarang ini.
Kos untuk mengred duit lama ke luar negara meningkat
Mengred duit lama sama ada ke Professional Coin Grading Service (PCGS) atau Numismatic Guaranty Corporation (NGC) sudah pasti akan melibatkan peningkatan kos. Ada yang akan kata kenapa tidak mengred duit lama didalam negara sahaja tetapi perlu fikirkan juga, adakah menggunakan perkhidmatan pengredan yang tidak diterima oleh semua orang akan memberikan nilai tambah kepada pelaburan anda?
Harga pasaran duit lama mungkin akan turun lagi?
Sekarang ini ramai penjual duit lama yang mengeluh, pembeli semakin kurang datang ke kedai mereka untuk membeli koleksi duit lama. Walaupun pada ketika ini adalah waktu yang terbaik untuk membeli koleksi kerana harga yang murah dan koleksi rare yang muncul dipasaran, kuasa membeli yang kurang turut menyumbang kepada penurunan Harga pasaran duit lama. Adakah harga pasaran duit lama akan turun lagi?
Semakin ramai pembeli yang terdesak menjual duit lama
Jika anda penjual/pengumpul duit lama, sudah pasti anda sedar, sekarang ini sudah semakin ramai bukan collector yang cuba mengaut keuntungan menjual duit lama. Apa duit pun dijual dengan harapan ianya akan memberikan pulangan kepada mereka sedangkan duit lama itu tidak mempunyai nilai numismatik. Kejatuhan nilai Ringgit yang berterusan sudah pasti akan menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan. Ada yang beranggapan, numismatik adalah cara mudah mendapatkan wang.
Pendapat anda bagaimana, nilai Ringgit jatuh, apa maknanya kepada anda?