Umum tahu, Harga pasaran duit lama untuk tahun 2016 kurang menarik kerana rata-rata harga duit lama jatuh teruk. Kita semakin menghampiri tahun 2017, adakah harga pasaran duit lama akan lebih baik untuk tahun 2017?
Persoalan itu sukar dijawab, terutamanya dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu. Isu ekonomi negara biarlah yang bijak pandai berbicara mengenainya. Namun, jika keadaan ini berterusan untuk tahun 2017, kita juga akan melihat penurunan kepada numismatik.
Harga duit lama jatuh mungkin berita baik buat pembeli tetapi adakah kesemua orang mempunyai kuasa membeli item numismatik pada keadaan ekonomi sekarang?
Jika anda mengikuti isu semasa numismatik di Facebook, anda pasti perasan ramai penjual duit lama hardcore yang sudah mula berubah kepada jualan barang-barang lain. Ada juga penjual yang terus hilang dari radar numismatik, tidak ada khabar berita.
Penjual kaki spam juga sudah semakin ramai, menjual koleksi numismatik yang tidak berharga dan duit palsu. Kebanyakkan daripada mereka ini terdesak perlukan wang dan berpendapat menjual duit lama pasti akan mendapat keuntungan lumayan.
Walau pun kami telah berkongsi mengenai duit lama Malaysia yang berharga di Facebook, sila rujuk link ini duit lama Malaysia yang berharga. Masih ramai yang menjual koleksi duit lama biasa pada harga yang luar biasa. Katanya nak mencuba nasib dalam numismatik. 😁
Harga duit lama yang jatuh secara drastik membuatkan ramai pelabur-pelabur baru yang takut dengan permainan Numismatik. Hari ini harga koleksi anda boleh jadi RM1000, 3 bulan kemudian apabila ada koleksi duit lama yang mendapat gred yang lebih tinggi dari duit lama yang anda ada, koleksi itu mungkin berharga RM500, itu pun jika ada yang hendak membelinya.
Itu belum lagi termasuk dengan perangkap koleksi numismatik yang dibida melalui acara lelongan awam. Ramai yang salah anggap, duit lama itu pasti akan naik sekali ganda dari harga lelongan. Itulah padahnya apabila percaya dengan mereka yang tidak mempunyai kepakaran numismatik.
Di dalam keadaan ekonomi sekarang ini, acara lelongan numismatik juga bukan suatu yang mudah untuk dilaksanakan dengan jayanya. Syarikat lelongan numismatik seperti Trigometric Sdn Bhd terpaksa mengerah akal dan kudrat untuk memastikan acara lelongan mereka masih boleh dijalankan. Tahniah untuk mereka, 2017 mereka merancang untuk mengadakan Trigo Kuala Lumpur Money Show pada 17-19 Mac 2017. Itu sesuatu yang pastinya ditunggu-tunggu oleh warga numismatik Malaysia.
2016, numismatik Malaysia melalui keadaan yang sukar terutamanya kepada penjual duit lama. Diharap, ada perubahan positif untuk tahun 2017.
Pada pendapat anda, adakah harga pasaran duit lama Malaysia akan kembali pulih pada tahun 2017?
Kami juga telah kongsikan persoalan ini di Facebook Malaysia Coin: