Tahun 2015, beberapa Facebook pages serta blog yang tidak bertanggungjawab telah berkongsi maklumat palsu mengenai harga duit syiling Malaysia. Sehingga ke hari ini, masih ramai bukan collector yang bertanya soalan "bodoh" jika sesiapa nak beli syiling 20 sen 1988 mereka.
Maaf kalau perkataan itu agak kasar tetapi realitinya masih ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya kepada berita palsu di Media Sosial seperti Facebook dan Whatsapp tanpa membuat siasatan terlebih dahulu mencari cerita sebenar.
Anda mungkin pernah terbaca info ini di ulang pakai oleh pelbagai blog yang tidak beretika:
"Kami Mencari Duit Syiling Lama Iaitu 20sen Tahun 1988, Kami Beli Dengan Harga Tinggi Iaitu RM38,000 Setiap Satu. Jika Anda Atau Rakan Anda Mahupun Ahli Keluarga Anda Ada, Jangan Lupa Tag Mereka Dan Hubungi Kami Di Laman Ini. Jangan Lupa Tag Kawan Atau Family Anda Jikalau Mereka Ada, Boleh Kongsikan". Info lanjut di: http://bit.ly/1Fln58u
Mengenai syiling 20 sen 1988, jika tukang kongsi mempunyai akal yang waras sudah pasti beliau boleh berfikir, kenapa dia boleh dengan mudah mendapatkan syiling tersebut jika harganya mahal sehingga RM38,000? Apa yang istimewanya syiling itu sehingga berharga mahal? Kenapa ada ramai orang yang kata dia ada syiling tersebut?
Orang yang waras tak melompat-lompat macam lotong tapi dia siasat dulu sebelum kongsi maklumat sebegitu. Namun, ramai yang teruja dan terus share (kongsi) maklumat itu dengan rakan-rakan Facebook tanpa usul periksa.
Kesannya sehingga ke hari ini masih ramai lagi yang bertanya dengan warga numismatik mengenai hal ini, selepas ianya ditular hampir 2 tahun lalu.
Mungkin bagi bukan collector ianya perkara biasa tetapi bagi collector ianya suatu gangguan yang tiada berkesudahan.
Jika anda bukan collector dan tak faham apa yang kami ceritakan, sila baca artikel sebelum ini: http://bit.ly/2j9n26j (Collector tak perlu baca)
Mengikut Laporan Institut Berita Digital Reuters pada tahun 2016, 69 peratus rakyat Malaysia memperolehi berita dari media sosial.
Tidak menghairankan jika pada tahun 2017, ianya akan meningkat kepada 85%.
Orang Malaysia berlumba-lumba untuk berkongsi (share) maklumat yang mereka rasakan "sensasi". Ini kerana cerita palsu biasanya mempunyai unsur-unsur tersebut berbanding dengan realiti cerita sebenar.
Gangguan panggilan telefon, sms, whatsapp, private message dan komen ini makin menjadi-jadi didalam keadaan ekonomi yang kurang baik sekarang ini.
Sepertimana yang kami pernah kongsikan sebelum ini, ianya bukan tanggungjawab kami sahaja untuk berkongsi cerita sebenar, semua warga numismatik sepatutnya bersama-sama berkongsi maklumat kepada bukan collector.
Amat kurang cerita mengenai numismatik dikongsikan didalam Media Arus Perdana. Jika ada dikongsi di suratkhabar sekali pun, ianya adalah cerita numismatik yang sudah disensasikan. "Ada orang nak beli harga 1 juta Ringgit", "Syiling ini bernilai tinggi 16 Juta Ringgit" dan juga pelbagai ayat-ayat sensasi yang mengaburi realiti sebenar numismatik di Malaysia.
Cerita-cerita palsu yang dikongsi ini memberikan gambaran numismatik ini jual sahaja apa-apa duit lama, collector pasti beli dengan harga mahal.
Mohon pandangan, pendapat dan idea daripada anda semua bagaimana kita dapat mengurangkan masalah cerita-cerita palsu didalam numismatik Malaysia.