Duit syiling edaran siri ke-3 telah dilancarkan pada 25 Julai 2011 oleh Mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Namun, sehingga ke hari ini, tidak ada gelaran khusus untuk duit syiling tersebut digunapakai oleh kalangan warga numismatik Malaysia.
Untuk makluman juga, Syiling Malaysia siri ke-3 ini mula di edarkan kepada umum pada 16 Januari 2012.
Duit syiling ini memaparkan corak budaya dan warisan negara melalui motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara, bertemakan 'Keunikan Malaysia'.
Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA'.
Syiling tersebut sudah berada di edaran hampir 5 tahun tetapi tidak ada nama khusus yang digunakan oleh warga numismatik untuk syiling siri tersebut kerana coraknya yang jauh berbeza di antara satu sama lain.
Jika hendak dibandingkan dengan siri sebelum ini, duit syiling siri pertama di panggil sebagai duit syiling parlimen oleh warga numismatik dan duit syiling siri ke-2 dipinggal sebagai duit syiling bunga raya.
Ini kerana dua-duanya jelas memaparkan motif bangunan parlimen dan juga motif bunga raya.
Sebelum ini, sifu Dickson Niew ada menggunakan istilah "M3S" sebagai merujuk kepada duit syiling ini yang bermaksud "Duit Syiling Malaysia Siri ke-3" (M=Malaysia, 3 dan S=Siri). Namun, kami lihat amat kurang digunakan oleh warga numismatik Malaysia.
Ada juga yang mengatakan siri syiling tersebut adalah syiling siri euro tetapi adakah sesuai kita menggunakan nama tersebut untuk syiling negara kita?
Pihak kami mencadangkan nama gelaran khusus "Syiling kraftangan Malaysia" yang mungkin lebih sesuai untuk syiling siri tersebut dan senang di ingat oleh warga numismatik Malaysia. Ini kerana syiling ini memaparkan motif seni kraftangan Malaysia.
Setiap satu daripada duit syiling itu memaparkan motif ukiran dan kraftangan yang berbeza; 50 sen - Motif ukiran sulur kacang; 20 sen - Motif ukiran Bunga melur; 10 sen - corak anyaman unik suku kaum Mah Meri dan 5 sen motif tenunan destar siga.
Cadangan rakan-rakan Facebook untuk nama gelaran numismatik syiling siri ke-3:
- Qull Laan mencadangkan Syiling Milennium Malaysia.
- Afnan Huzaifi mencadangkan Syiling Seni Malaysia ( SSM ).
- Roslan Mohamad Abelan mencadangkan Syiling kraf .1. Malaysia
- Kurosagi Nantoka mencadangkan Syiling Siri Flora
- Sam Mazin mencadangkan Syiling Budaya
Kami telah membuka undian untuk pemilihan nama cadangan di Facebook Event (Hanya itu cara terbaik untuk membuat poll di Facebook) sejak 4 Januari sehingga 12 Januari 2017. Ramai yang bersetuju nama cadangan Syiling Kraftangan sesuai digunakan untuk nama gelaran numismatik syiling siri ke-3.
Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan cadangan, pandangan dan turut serta mengundi nama gelaran numismatik syiling siri ke-3.
Ini undian yang dijalankan di Facebook: