Gambar ini di ambil ketika jualan syiling peringatan 100 tahun Pandu Puteri Malaysia pada 6 Jun 2016 jam 6.44 pagi. Minggu ini ada lagi jualan syiling peringatan Sukan SEA 2017 dan gambar-gambar lama sebegini akan jadi kenangan. Pembeli syiling peringatan sudah tidak perlu bangun awal beratur di Sasana Kijang dan pejabat-pejabat BNM.
Buat pertama kalinya dalam sejarah jualan syiling peringatan, BNM menerima pendapat dan cadangan para pembeli serta mencuba sebaik mungkin untuk melakukan perubahan kepada jualan syiling peringatan.
Pada 25 Ogos 2017, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan pembeli syiling peringatan SEA Games 2017 boleh datang ke pejabat-pejabat BNM dari 29hb Ogos sehingga 5 September untuk mengisi borang pembelian duit syiling tersebut atau hantar saja pesanan melalui email dengan butiran maklumat peribadi ke BNM.
Sekiranya duit syiling ini mendapat tempahan yang melebihi kuantiti jualannya, tempahan akan melalui proses pengundian (700 Single dan 1300 Set 2 dalam 1). Keputusan tempahan atau pengundian akan diumumkan pada 8 September 2017 di www.bnm.gov.my dan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia serta pejabat Bank Negara Malaysia di seluruh negara.
Pembeli yang berjaya boleh membayar dan mengambil duit syiling mereka mulai 8 hingga 12 September 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum), dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja biasa).
Namun, kaedah baru yang diperkenalkan oleh BNM ini menimbulkan beberapa persoalan (7 persoalan mengenai cara jualan syiling peringatan BNM terbaru) yang mungkin hanya akan terjawab apabila jualan syiling ini selesai.
Persoalan-persoalan ini timbul kerana kelihatan peluang dealer yang mencari keuntungan daripada jualan syiling peringatan ini adalah sama sahaja dengan cara jualan sebelum ini jika semua orang dibenarkan menghantar seberapa banyak nama. Lebih banyak nama, peluang untuk menang undian jualan syiling peringatan lebih tinggi.
Ia sudah pasti memudahkan pembeli tetapi didalam masa yang sama juga peluang dealer dengan macai-macainya mengambil kesempatan masih lagi terbuka.
Pembeli duit syiling peringatan BNM pada ketika ini mempunyai pilihan untuk datang ke BNM mengisi borang atau cukup sekadar menghantar email sahaja. Kami percaya pada ketika ini, ramai daripada pembeli duit syiling peringatan yang memilih untuk menghantar email. Ianya lebih mudah dan cepat serta tidak perlu membuang masa pergi ke Sasana Kijang atau pejabat-pejabat BNM semata-mata untuk mengisi borang.
Tema Syiling Sukan SEA bukanlah tema yang digemari oleh kebanyakan pengumpul syiling peringatan, satu lagi perkara yang perlu dilihat BNM untuk syiling peringatan dimasa hadapan. 60 tahun Merdeka, sudah menjadi kelaziman BNM memilih tema yang hampir sama sahaja; Tema Syiling Peringatan Malaysia 1969-Terkini.
Ianya mungkin satu sejarah baru didalam jualan syiling peringatan BNM. Pembeli tidak lagi perlu bangun awal untuk pergi berbaris di Sasana Kijang dan pejabat-pejabat BNM.
Terima kasih kepada Pengurusan Unit Pengurusan dan Operasi Matawang yang baru didalam usaha mereka memperbaiki cara jualan syiling peringatan BNM. Ianya suatu perubahan drastik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Semoga cara jualan syiling peringatan kali ini berjalan dengan lancar dan penambahbaikan dapat dilakukan dimasa hadapan.