Wang Kertas RM600 Malaysia secara rasminya adalah pemegang rekod Guinness untuk wang kertas terbesar di dunia. Ianya direkodkan pada 27 Disember 2017 dan saiznya direkodkan oleh Guinness Record sebesar 814 cm² atau 126.17 in². Tahniah kepada Pemegang rekod Guinness, Bank Negara Malaysia (BNM).
Wang kertas RM600 ini dikeluarkan untuk memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Ianya dilancarkan secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2017.
Dimensi wang kertas ini secara rasminya adalah 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in). Hanya 6,000 keping sahaja yang dikeluarkan oleh BNM.
BNM buat pertama kalinya memperkenalkan tempahan online untuk wang peringatan, dimana sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, undian akan dibuat. Tempahan untuk Wang kertas Peringatan RM600 mula dibuka dari 29 Disember 2017 sehingga 19 Januari 2018, pukul 1.00 petang.
Ianya mula dimiliki oleh orang ramai pada 25 Januari 2018 apabila keputusan undian wang peringatan di umumkan pada hari yang sama.
RM600 - Wang kertas terbesar dunia
Di bahagian hadapan, Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.
Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan. Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini: Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman yang masing-masing mencerminkan empat tonggak negara: Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.
Rekod dunia terbaru ini sudah pasti akan menjadikan fenomena wang Kertas RM600 ini kembali menyemarakkan suasana numismatik Malaysia.