Pada bulan Ogos yang lalu, kecoh di Media Sosial rakan-rakan numismatik Malaysia, mengenai berita Wang Malaysia dicetak di China. South China Morning Post yang memetik sumber firma milik kerajaan, China Banknote Printing and Minting Corporation melaporkan kilang percetakan mata wang tersebut kini beroperasi pada kapasiti hampir penuh.
Selepas melancarkan inisiatif ‘Belt and Road’ pada penghujung 2013, wang kertas Yuan China hanyalah sebahagian kecil dari wang kertas yang dicetak di kilang mereka. China telah memenangi kontrak bagi projek percetakan mata wang dari negara seperti Thailand, Bangladesh, Sri Lanka, Malaysia, India, Brazil dan Poland.
Namun, tidak ada lagi maklumat atau kenyataan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM), mengenai berita Wang Malaysia dicetak di China setakat ini.
Anda boleh membaca laporan penuh mengenai berita tersebut di South China Morning Post; Why other countries are giving China a licence to print money.
Inisiatif ‘Belt and Road’ itu dilancarkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada penghujung tahun 2013 untuk merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi projek pelaburan dan infrastruktur modal yang melibatkan kira-kira 60 buah negara dari Asia, Eropah hingga Afrika.
Untuk makluman anda, Kilang Wang di China tersebut adalah antara yang terbesar didunia pada ketika ini dengan lebih daripada 18,000 orang kakitangan serta 10 fasiliti.
Kilang wang China Banknote Printing and Minting Corporation (CBPM) juga didakwa mampu menyediakan ciri-ciri keselamatan seperti jalur khas, reben logam dan dakwat berubah warna pada kos yang agak rendah berbanding pesaing mereka dari Barat.
CBPM merupakan satu-satunya kilang yang mampu melakukan Intaglio, atau percetakan timbul (raised printing) secara serentak pada kedua belah halaman wang kertas.
Peminat tegar numismatik secara umumnya tahu teknologi yang digunakan oleh Kilang Wang di China 10 tahun ke hadapan berbanding dengan teknologi mata wang yang ada pada wang kertas Malaysia pada ketika ini.
Jika berita ini betul, adakah kita berpeluang untuk melihat rekabentuk baru wang kertas Malaysia seperti yang dihebohkan oleh media sosial pada bulan Julai yang lalu?