Tahun 2018 menyaksikan cerita suka dan duka untuk numismatik Malaysia. Berita kemunculan wang kertas RM600 sebagai Wang Kertas Terbesar di Dunia mengikut rekod Buku Guinness menceriakan suasana numismatik tahun lepas. Berikut kami kongsikan rangkuman Kisah Numismatik Malaysia 2018.
Januari 2018
Untuk pertama kalinya, BNM mengadakan tempahan wang peringatan secara dalam talian, ianya sedikit sebanyak membantu mengurangkan jualan oleh orang ketiga yang menangguk di air keruh. Terutamanya mereka yang meminta bayaran terlebih dahulu dengan collector sebelum syiling peringatan ada ditangan (pre-order).
Keputusan tempahan wang peringatan diumumkan pada 25 Januari 2018.
Februari 2018
Selepas Wang Kertas RM600, RM60 dan syiling arkib negara, Februari menyaksikan syiling Agong ke-XV mula dijual kepada orang ramai yang menempah lebih awal. Kami ada berkongsi mengenai masalah, cadangan dan juga perkara yang berlaku semasa hari jualan wang peringatan tersebut di dalam artikel; Hari Jualan 3 Wang Peringatan 2017.
Wang Peringatan yang ditempah perlu diambil sebelum 28 Februari 2018.
Pada pendapat kami, cara jualan tersebut adalah yang terbaik; Cara jualan terbaru BNM adalah satu usaha baik.
Ramai juga yang bersetuju melalui undian yang kami jalankan.
Namun, ianya menimbulkan masalah apabila ramai yang menggunakan beberapa nama (nama keluarga, kawan-kawan dll) untuk membuat tempahan. Mereka ini tidak bertujuan untuk menyimpan sebagai koleksi tetapi berharap tempahan mereka berjaya dalam undian BNM dan berharap mereka juga berjaya menjual wang peringatan tersebut sebelum tarikh pengambilan wang peringatan.
Ini menyebabkan BNM terpaksa membuang masa beberapa kali mengadakan jualan wang peringatan.
Mungkin dimasa hadapan, BNM boleh membuat senarai hitam nama-nama yang tidak mengambil wang peringatan yang ditempah mereka tanpa sebab yang munasabah.
Mac 2018
Mac menyaksikan Pameran Wang Antarabangsa Kuala Lumpur Trigo Kali Ke-2 diadakan dari 16 Mac sehingga 18 Mac (Ahad) 2018 bermula jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang.
Acara tahunan yang di anjurkan oleh Trigometric Sdn Bhd ini semakin mendapat sambutan, lebih daripada 20 gerai pameran dibuka oleh syarikat-syarikat numismatik dari seluruh dunia. Pengumpul duit lama dari dalam negara dan juga luar negara datang ke pameran.
Bulan Mac juga menyaksikan Buku Rekod Guinness mencatatkan Wang Kertas RM600 Malaysia secara rasminya sebagai pemegang rekod Guinness untuk wang kertas terbesar di dunia. Dimensi wang kertas ini secara rasminya adalah 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in). Hanya 6,000 keping sahaja yang dikeluarkan oleh BNM.
Mei 2018
Buat pertama kalinya didalam sejarah Malaysia, pakatan pembangkang memenangi Pilihanraya Umum. Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) telah memerintah negara ini lebih daripada 60 tahun sejak merdeka pada 31 Ogos 1957. Ramai daripada pengumpul syiling peringatan berharap, syiling Malaysia dengan potrait Tun Dr. Mahathir akan muncul.
Namun, sehingga kini tidak ada lagi syiling peringatan Tun Mahathir dikeluarkan, hanya Setem peringatan.
Jun 2018
Bulan Jun menyaksikan warga numismatik dikejutkan dengan perletakkan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Bagi kami Perletakan Jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim suatu kerugian numismatik kerana beliau adalah Gabenor BNM yang mesra numismatik.
Ada banyak perancangan mengenai numismatik yang kami dengar akan dijalankan oleh BNM dibawah beliau. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ianya berita sahih atau adakah ianya akan di adakan juga dimasa hadapan.
Bulan Jun juga menyaksikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus telah mendapat perkenan sebagai Gabenor BNM ke-9 oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 19 Jun 2018.
Beliau akan mula menjalankan tugas sebagai Gabenor BNM selama tempoh lima tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023.
Ogos 2018
South China Morning Post yang memetik sumber firma milik kerajaan, China Banknote Printing and Minting Corporation melaporkan mengenai China telah memenangi kontrak bagi projek percetakan mata wang dari negara seperti Thailand, Bangladesh, Sri Lanka, Malaysia, India, Brazil dan Poland. Anda boleh baca laporan lanjut kami; Wang Malaysia dicetak di China?
Oktober 2018
Muzium Bank Negara Malaysia mengadakan Pameran Tun Ismail Ali: Peneraju Amanah & Integriti bersempena dengan Ulang Tahun 100 tahun Tun Ismail Ali (1918 - 1998), Gabenor Malaysia pertama Bank Negara Malaysia. Ramai daripada rakan collector yang berharap syiling peringatan dikeluarkan untuk Allahyarham Tun Ismail Ali.
Pameran ini menyaksikan lebih daripada 140 barang peribadi Tun Ismail Ali dikongsi buat pertama kalinya kepada umum.