Kami terpanggil untuk menulis mengenai wang kertas koyak yang tidak diterima oleh ramai peniaga kerana dikhuatiri tiada nilai apabila dimasukkan ke bank-bank perdagangan. Ada juga rakan-rakan Facebook yang berkongsi cerita mengenai kedai yang menerima wang kertas koyak atau digam kerana koyak.
Sesetengah kedai meletakkan memo siap dengan contoh tidak akan menerima wang kertas koyak, dicantumkan, diconteng dan sebagainya.
Ramai yang tidak tahu bukan semua wang sebegitu mempunyai masalah untuk ditukarkan di bank-bank perdagangan (Maybank, CIMB, RHB, Public Bank dll), kami sendiri biasa memasukkan wang tabung anak-anak dengan wang rosak yang sedemikian.
Kepada yang rajin membaca lebih lanjut, boleh baca artikel yang kami tulis sebelum ini; Cara tukar duit rosak di BNM.
Wang kertas bagaimana yang tiada nilai?
1. Wang kertas yang kurang setengah (1/2) daripada wang kertas yang asal.
2. Wang kertas yang rosak dengan sebarang cara yang nyata (iaitu, tanda yang dibuat di atas potret Yang DiPertuan Agong, tulisan yang menggambarkan slogan politik atau menggunakan wang kertas itu sebagai kad jemputan/pad tulis).
3. Wang kertas yang luntur warnanya dengan teruk sehingga tidak nampak corak reka bentuk wang kertas asal (mungkin terkena clorox dll)
Selain itu, anda juga perlu lihat adakah wang kertas yang anda terima itu kurang dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal. Jika kurang, nilai wang kertas tersebut juga akan kurang. Jadi perlu berhati-hati menerima wang sebegini.
Jika hanya terkoyak sedikit, tidak perlu hantar ke Bank Negara Malaysia, memadai dengan pergi ke bank-bank perdagangan. Jika bank-bank perdagangan tidak mahu menerima barulah pergi ke cawangan Bank Negara Malaysia.
Kes-kes yang meragukan
Sebarang kes yang meragukan yang menyukarkan penilaian dibuat disebabkan wang kertas itu dalam keadaan yang sudah rosak (sebagai contoh, satu helai wang kertas yang terbakar dengan teruk atau kerosakan pada wang kertas yang sukar menentukan saiznya) hendaklah dirujuk pada Bank Negara Malaysia untuk penilaian.
Jika anda rasa wang kertas tersebut rosak agak teruk, sebagai contoh anda tidak pasti wang kertas yang anda ada tu kurang dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal atau tulisan yang ada pada wang kertas tersebut merosakkan wang kertas atau tidak, adalah lebih baik anda tidak menerima wang sebegitu.
Semoga lebih ramai peniaga yang rajin membaca dan belajar tidak semua wang kertas koyak itu tiada nilai.