Buku Numismatik adalah sebahagian daripada koleksi yang perlu dimiliki oleh pengumpul duit lama tegar. Terdapat pelbagai jenis buku numismatik yang boleh dikumpul; buku katalog harga, buku panduan numismatik, buku mengenai koleksi numismatik dan juga buku sejarah yang mempunyai cerita mengenai numismatik.
Ada pengumpul buku numismatik yang ingin memastikan mereka mempunyai buku panduan harga yang terkini tetapi ada juga pengumpul yang suka mengumpul buku numismatik lama dan tidak lagi dicetak sebagai koleksi perpustakaan numismatik mereka.
Pada kebiasaannya, apabila sudah berminat dengan numismatik, setiap orang perlu mendapatkan buku katalog harga yang terkini sebagai panduan harga duit lama. Untuk numismatik Malaysia, kami hanya syorkan anda untuk membeli buku katalog Steven Tan dan juga buku katalog KN Boon.
Kedua-dua buku ini mempunyai sejarah penerbitan yang panjang, boleh baca mengenainya di link yang kami kongsikan di atas. Buku asli siri pertama berharga mahal dan agak sukar untuk menemuinya.
Menjadi trend masa kini untuk membeli lebih dari dua naskhah buku katalog kedua-dua orang Master Sifu ini untuk dijadikan panduan dan juga koleksi. Selain itu, siri lama buku katalog tersebut juga semakin dicari oleh para pengumpul buku numismatik.
Selain buku katalog kedua-dua orang sifu tersebut, terdapat juga buku katalog lama yang diterbitkan oleh Eureka Metro yang turut menjadi buruan para pengumpul buku numismatik di Malaysia.
Selain buku katalog, ramai juga pengumpul buku numismatik yang mengkhususkan kepada buku yang dikeluarkan oleh seseorang penulis. Dua orang penulis yang tidak asing lagi untuk dunia numismatik Malaysia adalah Master Sifu Saran Singh dan juga Allahyarham Master Sifu Dato' (Dr.) Mohd Kassim Haji Ali. Ada di antara buku mereka ini yang dikategorikan sebagai rare dan dijual pada harga yang tinggi. Namun, ada juga buku mereka ini yang diterbitkan semula, terutamanya buku yang diterbitkan oleh Jabatan Muzium.
Buku yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga adalah antara buku numismatik yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh para pengumpul buku numismatik. Kebanyakkan daripada buku tersebut dikeluarkan untuk mempromosikan koleksi numismatik yang ada di Muzium Bank Negara. Namun, ada juga buku terbitan BNM berkenaan dengan promosi wang kertas dan duit syiling terbaru menjadi buruan pengumpul. Selain daripada buku-buku edisi terhad yang hanya dikeluarkan kepada orang kenamaan yang menghadiri majlis BNM.
Buku mengenai koleksi para pengumpul terkenal seperti Buku Koleksi Frank Goon yang diterbitkan oleh Spink Singapura juga digemari oleh para pengumpul kerana ia sedikit sebanyak boleh dijadikan sebagai panduan apabila ingin membeli koleksi yang berharga mahal. Selain itu, ianya juga memberi peluang kepada para pengumpul untuk melihat koleksi rare serta tidak pernah dilihat oleh pengumpul biasa.
Terdapat juga buku-buku sejarah yang menulis serba sedikit mengenai numismatik dicari oleh para pengumpul buku numismatik. Buku-buku terbitan Arkib Negara misalnya berkongsi mengenai dokumen bersejarah numismatik didalam buku mereka. Selain buku-buku mengenai sejarah Bank dan Institusi Kewangan di negara ini.
Jika dilihat sekilas pandang, tidaklah sukar untuk mengumpul buku numismatik Malaysia kerana kita tidak mempunyai jumlah koleksi buku yang banyak tetapi ianya tidak semudah yang disangka. Buku-buku lama tidak banyak dicetak pada waktu itu kerana jumlah pengumpul duit lama yang tidak ramai dan ianya banyak dijual kepada rakan-rakan numismatik diluar negara.
Adakah anda salah seorang daripada pengumpul buku numismatik sebagai hobi? Buku numismatik bagaimana yang anda kumpul?