Rabu, 3 Julai 2019

Sejarah jawatan Yang di-Pertuan Agong

Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan di adakan pada 30 Julai 2019 di Istana Negara.

Sejarah Agong

Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara. Baginda dipilih daripada sembilan orang Sultan yang memerintah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu.

Pada 3 Ogos 1957, satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu di Dewan Mesyuarat Majlis Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur telah di adakan untuk memilih buat pertama kalinya Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka. Pemilihan ini dilakukan mengikut Bahagian 4, Artikel 32, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Persidangan Khas dan bersejarah ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah dan dihadiri oleh semua Raja-raja dan Sultan kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan diwakili oleh Tengku Mahkota.

Raja-raja yang hadir ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia pertama adalah:
  • Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)
  • Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)
  • Al-Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)
  • Al-Marhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)
  • Al-Marhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)
  • Al-Marhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)
  • Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah III (Al-Sultan Terengganu; 1945-1979)
  • Al-Marhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Muhtaram Shah Radziallah Hu'an-hu (Sultan Perak; 1948-1963)
  • Al-Marhum Tunku Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim Al-Masyhur (Tunku Mahkota Johor; menjadi Sultan Johor 1959-1981)

Jika menurut tempoh lama memerintah, Al-Marhum Mejar Jeneral Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi Sultan pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun).

Yang kedua dalam turutan, Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pertama.

Perjanjian Kemerdekaan

Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II; lapan orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (selain daripada Yang di-Pertuan Besar). Perjanjian tersebut juga mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu. Hari bersejarah ini telah di abadikan di belakang wang kertas peringatan RM600 yang juga Wang kertas terbesar di dunia. Bacaan lanjut; Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.


Pada 2 September 1957, tepat pada jam 10 pagi dengan diiringi oleh tembakan meriam 21 das dan paluan nobat serta gendang perang selama kira-kira 15 minit, DYMM Seri Paduka Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah ditabalkan dengan rasminya sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan memakan masa kira-kira satu jam 15 minit di Balai Rong Seri Istana Negara itu telah dihadiri oleh lebih dari 500 orang jemputan utama dan khas, termasuk Raja-raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu dan Sultan Brunei, Gabenor Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan para Menteri Kabinet, tetamu-tetamu istimewa dari dalam dan luar negeri termasuk Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen.

Agong Pertama

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong yang memakai pakaian rasmi berwarna hijau muda disulam dengan benang mas telah diiringi hingga ke singahsana tempat bersemayam. Datuk Paduka Maharajalela kemudian telah membawa masuk sebuah Al-Ouran, sebilah keris panjang Diraja, Surat Perisytiharan dan Surat Sumpah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Paduka Maharajalela

Setelah menerima keris panjang Diraja itu, Yang di-Pertuan Agong kemudian menghunus keris tersebut dan menciumnya sekali. Kira-kira tiga minit kemudian, Yang di-Pertuan Agong telah membaca Surat Sumpah. Setelah selesai baginda membacanya maka Datuk Paduka Maharajalela pun menyeru "DAULAT" tiga kali berturut-turut dan ini telah disambut oleh sekalian yang hadir. Seruan ini diiringi dengan pukulan nobat tanda "Raja Bertabal".


Sumber
  • Buku "Raja Payung Negara, Daulat Sepanjang Zaman", terbitan Jabatan Penerangan Malaysia.
  • Arkib.gov.my
  • Istananegara.gov.my