Hari Kebangsaan sudah semakin hampir tetapi setiap hari kita membaca dan melihat gambar serta video bendera Malaysia yang dipasang terbalik dikongsi di media sosial. Kepada pelaku yang memasang bendera terbalik ini, di mana kesetiaan anda pada negara? Bendera Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.
Jika bendera tersebut dipasang oleh rakyat asing mungkin kita boleh maafkan. Namun, masalahnya bendera-bendera yang dipasang terbalik itu dipasang oleh rakyat Malaysia sendiri.
Adakah mereka tidak bersyukur negara kita masih aman walaupun pelbagai dugaan yang dihadapi oleh Malaysia sejak 62 tahun merdeka.
Bendera Malaysia mempunyai sejarah yang panjang, sejak sebelum merdeka lagi, ianya senantiasa berubah mengikut peredaran zaman. Tahukah anda, Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang?
Hukuman Kesalahan mengibarkan bendera terbalik
Adakah anda tahu, tindakan boleh diambil kepada mereka yang mengantung bendera Malaysia secara terbalik dibawah:
Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963
Seksyen (1)
Mana-mana orang yang melanggar Seksyen 3 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000.
Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949
(1) Mana-mana orang yang—
(a) mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan yang berlawanan dengan Akta ini atau mana-mana syarat mana-mana perintah atau permit yang dibuat atau diberikan di bawak seksyen 5; atau
(b) selaku pemunya, penyewa, penerima pajak, penduduk atau orang yang menjaga mana-mana premis dengan disedarinya membenarkan mana-mana lambang kebangsaan dipamerkan di atas atau dari premis itu atau dalam mana-mana sekolah yang berlawanan dengan Akta ini atau mana-mana syarat mana-mana perintah atau permit yang dibuat atau diberikan di bawah seksyen 5, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh—
(i) dalam hal seseorang selain pertubuhan perbadanan, dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidk melebihi lima ratus ringgit atau kedua-duanya;
(ii) dalam hal pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi satu ribu ringgit.
Seksyen (3)
seseorang yang menjual atau menggunakan Jalur Gemilang atau apa-apa tiruan yang serupa dengannya bagi tujuan perdagangan dan perniagaan atau menggunakannya di dalam cap dagangan tanpa mendapat keizinan bertulis Menteri boleh didakwa.
Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan
membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
Kes kempen bendera terbalik
Pada tahun 2008, seorang blogger telah menjalankan kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai cara memprotes ketamakan ahli dan pemimpin parti-parti politik tanpa mengira parti.
Namun, blogger tersebut tidak didakwa di mahkamah. Beberapa hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan, beliau membetulkan semula bendera Malaysia di dalam blog-blog beliau.
Sehingga sekarang tidak dapat dipastikan siapakah penganjur dibelakang tabir untuk kempen bendera terbalik 2019? Jika dah tahu, semoga beliau segera dikenakan tindakan.
Etika dan Panduan Pengunaan Bendera Jalur Gemilang
- Bendera hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar. Walau bagaimanapun dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak (Flagline).
- Penggunaan bendera dalam bentuk pelbagai seperti pakaian dan sebagainya perlu dielakkan kecuali semasa sambutan Bulan Kemerdekaan dan jangka masa penggunaannya adalah terhad.
- Tidak boleh menggunakan bendera dalam perkara yang ditafsirkan sebagai merendahkan martabat Jalur Gemilang seperti alas meja, kain tudung, payung, songkok, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.
- Pengunaan bendera dalam pelbagai gaya dan bentuk seperti iklan dalam tujuan mempromosi sambutan Bulan Kemerdekaan dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera.
- Mengibarkan bendera yang telah uzur seperti telah pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan atau ketidakwajaran.
Cara Pelupusan Bendera
Bendera yang telah pudar warna, koyak dan seumpamanya tidak boleh dikibarkan kerana dianggap sebagai bendera yang uzur. Pengibarannya menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut. Bendera yang sedemikian tidak boleh dibuang di dalam tong sampah sebaliknya perlu dimusnahkan dengan cara yang sopan seperti dibakar secara tertutup dan bukan dilakukan di tempat-tempat awam.
Sumber:
- Polis Diraja Malaysia
- Jabatan Penerangan Malaysia