Syabas dan tahniah kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk keluaran Syiling Peringatan sempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI. Rata-rata warga numismatik memuji kecantikan reka bentuk Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI.
Daripada kad syiling peringatan, sijil pengesahan, kotak dan juga syiling peringatan itu sendiri rata-rata mendapat pujian daripada warga numismatik.
Rata-rata warga numismatik memuji gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ada pada coincard dan juga kad maklumat syiling peringatan kali ini.
Gambar dan warna yang digunakan kali ini adalah jauh berlainan dengan syiling peringatan untuk pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Khabar angin mengatakan pemilihan warna dibuat sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selain itu, tulisan jawi juga digunakan untuk syiling kali ini, terima kasih kepada BNM yang memartabatkan tulisan jawi yang semakin dilupakan oleh generasi sekarang. Semoga ianya berterusan dimasa hadapan.
Daripada video yang dikongsi oleh Majalah 3 pada 29 Julai 2019, kita mendapat tahu pereka Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah Tuan Mohd Faizal Abdul Latiff. Anda boleh membaca info lanjut di: Proses Pembuatan Syiling Agong ke-16.
Namun, potrait Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada syiling agak berbeza berbanding dengan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh BNM sebelum ini.
Walau bagaimanapun, pada pendapat kami ianya masih lagi cantik jika hendak dibandingkan dengan lain-lain syiling sebelum ini yang mendapat kecaman warga numismatik.
Gambar potrait Yang di-Pertuan Agong kali ini diambil pada pandangan sudut sisi berbanding dengan potrait Yang di-Pertuan Agong pada syiling sebelum ini yang diambil pada pandangan depan.
Syiling kali ini nampak ekslusif hasil daripada kecantikan reka bentuk syiling dan juga pilihan warna yang menarik.
Tahniah sekali lagi kepada Bank Negara Malaysia yang kembali memberikan tumpuan kepada seni ukiran pada duit syiling berbanding dengan syiling-syiling sebelum ini yang menumpukan kepada warna-warni pada permukaan syiling.
Adakah anda bersetuju reka bentuk syiling kali ini agak menarik berbanding syiling peringatan berwarna sebelum ini?