Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan tempahan syiling peringatan yang dikeluarkan sempena Ulang Tahun ke-50 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM50) dan Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya (Putrajaya25) hanya akan mula dibuka pada 12 Oktober 2020 (9.00 pagi) hingga Jumaat, 30 Oktober 2020 (11.00 malam).
BNM menasihatkan orang ramai untuk membuat pesanan melalui sistem dalam talian Bank Negara Malaysia dan bukan dengan pihak lain atau kemudahan pesanan yang tidak sah. Semua pesanan akan dipertimbangkan dan tidak akan ada keutamaan yang diberikan kepada pesanan berdasarkan tarikh dan waktu pesanan.
Maklumat mengenai alamat laman web untuk sistem pesanan dalam talian, pembayaran, pengumuman hasil pesanan dan kemudahan penghantaran akan diterbitkan pada hari Isnin, 12 Oktober 2020.
Pada 28 Ogos 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya. Pelancaran Syiling Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya (Putrajaya25) tersebut telah diadakan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Seminggu sebelum itu, Duit syiling peringatan 50 tahun UKM dilancarkan oleh Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar di UKM.