Khamis, 28 April 2022

Kenapa Wang Kertas RM50 terjual RM708000?

Ramai yang bertanya kenapa wang kertas RM50 yang dilelong oleh Trigometric Auctions boleh terjual pada harga RM708,000? Mereka pun ada wang kertas tu, kalau dapat jual harga 10% dari harga tu pun memadai la.

RM50


Untuk makluman anda yang belum tahu, wang kertas yang dijual mereka itu, telah berjaya dibida pada harga RM708,000 didalam acara lelongan yang dilakukan oleh mereka pada Oktober 2021. Kepada bukan collector mungkin tiada masalah untuk faham mengenai wang kertas tersebut tapi bukan collector pastinya tidak tahu kenapa wang kertas itu terjual pada harga yang tinggi. 😉


Kenapa Wang Kertas RM50 terjual RM708,000?

1. Wang Kertas itu adalah Wang Kertas Peringatan

Untuk pengetahuan anda, Wang Kertas seperti yang dijual itu adalah Wang Kertas Peringatan untuk memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia. Ianya mula dijual pada 26 Disember 2007 di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) dan di cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Harga jualan asal bagi satu set pada waktu itu ialah RM60 dan sebanyak dua puluh ribu (20,000) set sahaja dikeluarkan oleh BNM.


2. Ianya berbeza dengan Wang Kertas RM50 peringatan yang diedarkan

Namun, terdapat juga Wang Kertas RM50 peringatan 50 tahun Merdeka yang dikeluarkan didalam edaran. Rupa bentuknya sama tetapi terdapat perbezaan warna emas/kuning ditepi wang kertas untuk wang kertas peringatan ini berbanding yang diedarkan didalam edaran.


3. Wang Kertas ini mempunyai Nombor Siri yang pertama

Jika anda lihat pada nombor siri wang kertas ini, ianya adalah no siri yang pertama AA0000001. Di dalam dunia numismatik, hanya Raja/Sultan sahaja yang biasanya mendapat peluang menyimpan no siri yang pertama untuk sesuatu yang istimewa seperti wang kertas ini. Oleh itu, ianya menjadi rebutan kepada para pengumpul duit lama. 


4. Ianya dijual didalam acara lelongan awam

Untuk makluman kepada mereka yang tidak mengumpul duit lama, wang kertas ini terjual didalam acara lelongan awam yang disertai oleh para pengumpul duit lama dari seluruh Malaysia dan juga luar negara. Selain pengumpul duit lama, ada juga para pelabur yang turut serta didalam acara lelongan. Oleh yang demikian, peluang untuk koleksi ini terjual pada harga tinggi adalah cerah berbanding anda cuba untuk menjualnya di kedai antik.


5. Keadaan Wang Kertas yang masih baik

Wang kertas ini masih dijaga dengan baik sebab itu syarikat pengredan wang kertas luar negara Paper Money Guarantee (PMG) mengred wang kertas ini sebagai PMG66 EPQ. Jika anda ada wang kertas ini dan selalu pegang wang kertas ini, jangan haraplah nak dapat gred sebegitu. 😁


Semoga bermanafaat kepada anda yang membacanya. Jangan tengok harga mahal sahaja, dah sibuk nak kata dia pun ada wang kertas yang sama. 😅