Selasa, 10 Mei 2022

Lambakan syiling palsu dimana jalan penyelesaiannya?

Lambakan duit syiling palsu sering kali diperkatakan oleh rakan-rakan numismatik, sama ada di Media Sosial dan juga di Media Arus Perdana tetapi dimanakah jalan penyelesaiannya? Sampai bila collector yang kurang berpengetahuan ditipu dengan syiling palsu?

Syiling Palsu


Tujuan kami menulis artikel ini sebagai pengetahuan kepada rakan-rakan numismatik yang baru menceburi bidang ini mengenai duit syiling palsu yang dijual sebagai syiling tulin/asli. Syiling palsu yang kami maksudkan didalam artikel ini adalah duit syiling lama yang dijadikan koleksi. 

Berapa Jenis Duit Syiling Yang telah dipalsukan?

Tuan Ahmad Nasyruddin Ismail melalui Facebook beliau dan juga di Laporan Berita Harian; Lambakan Wang Palsu Jejaskan Hobi Numismatik pernah melaporkan perkara yang serupa. 

Menurut hasil kajian Tuan Ahmad Nasyruddin, terdapat 300 jenis duit unik daripada keluaran lama atau yang moden sudah dipalsukan dan dijual di pasaran negara ini.

Antaranya adalah duit syiling 10 sen keluaran 1971; 50 sen keluaran 1969; duit abad ke 15-18 Kesultanan Melaka; Kesultanan Johor; Kesultanan Kelantan-Pattani; Kesultanan Terengganu Kesultanan Pahang; era penjajah seperti Portugis; Belanda; Jepun dan British, pernah dibida sehingga RM5,000 sekeping.

Bagaimana biasanya penjual menjual duit palsu mereka?

Mereka biasanya menjual kepada pembeli baru yang dirasakan oleh mereka tidak mempunyai pengalaman untuk mengenal pasti duit syiling itu adalah palsu.

Jika syiling itu berharga mahal, mereka akan memasang umpan dengan menjual syiling-syiling biasa dahulu pada harga murah. Apabila pembeli sudah kerap kali datang atau bertanya tentang syiling palsu tersebut, barulah mereka akan mengeluarkan syiling itu. Harga yang mereka tawarkan lebih murah tetapi masih terlalu mahal untuk sekeping syiling palsu.

Terdapat juga penjual yang berada berdekatan dengan Muzium dan mereka akan menyuruh pembeli melihat syiling yang ada dipamerkan di Muzium tersebut, adakah sama dengan syiling yang mereka jual? Terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak, syiling-syiling di Muzium itu juga palsu. Akibat daripada kurangnya pengetahuan mereka yang menjaga Muzium untuk mengenali syiling-syiling yang asli.

Setakat ini, Muzium Sasana Kijang adalah Muzium terbaik untuk rujukan numismatik di Malaysia. Muzium lain jangan percaya sangat.

Di Malaysia ni dah sampai tahap, pembuat syiling palsu juga menjadi penasihat untuk muzium. Bukan setakat syiling, wang kertas, artifak, malahan dokumen sejarah juga dipalsukan mereka dan dimasukkan ke dalam Muzium.

Bagaimana caranya untuk membendung lambakan syiling palsu?

Kepada pembeli baru, banyakkan bertanya tentang reputasi penjual sebelum berurusan dengan mereka, jangan tanya dikalangan anda sahaja, tanya juga orang lain yang tidak pernah pergi berjumpa atau berurusan dengan penjual tersebut atau baca sahaja tips kami; 5 tips memilih penjual duit lama yang boleh dipercayai.

Setakat ini tidak ada lagi cara terbaik yang boleh dilakukan untuk membendung penjualan syiling palsu.

Di Amerika Syarikat, para penjual duit lama diwajibkan untuk mendaftar dengan pertubuhan tertentu. Jika ada penjual yang didapati oleh pembeli menjual syiling palsu sebagai tulin, mereka boleh melaporkan kepada pentadbir persatuan tersebut. Pentadbir persatuan akan melakukan siasatan dan jika didapati betul ianya syiling palsu, penjual akan didenda dan wang pembeli akan dipulangkan.

Walaupun cara itu kelihatan boleh membendung lambakan syiling palsu tetapi pembeli masih lagi boleh menjual diluar tanpa menyertai persatuan.



Bersambung: Bagaimana mengenal duit syiling palsu